Friday, October 23, 2009

Bajet 2010-Habuan bagi pelajar

KUALA LUMPUR - Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam banyak memberi keuntungan kepada generasi muda khususnya golongan pelajar.

Antara pengumuman beliau yang paling menceriakan warga kampus ialah tawaran pakej komputer mini atau netbook lengkap dengan perkhidmatan jalur lebar pada kadar ansuran RM50 sebulan selama dua tahun bermula Januari ini.

Najib berkata, pakej yang jauh lebih murah daripada harga pasaran itu memberi keutamaan kepada pelajar tahun pertama dan mereka yang datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah.

"Sebagai permulaan, pakej ini akan ditawarkan oleh Telekom Malaysia kepada 100,000 pelajar semua universiti tempatan,'' kata beliau yang juga Menteri Kewangan semasa berucap membentangkan Bajet 2010 di Parlimen semalam.

Katanya, insentif tersebut adalah sebahagian daripada strategi memastikan pembangunan holistik dengan menjaga kebajikan pelajar.

Pakej yang ditawarkan itu ternyata jauh lebih murah berbanding harganya di pasaran.

Tinjauan Kosmo! mendapati beberapa syarikat komputer di ibu kota menawarkan netbook berharga di antara RM1,299 sehingga RM2,099 bergantung kepada model dan spesifikasi.

Bagi caj perkhidmatan jalur lebar, bayaran bulanan yang dikenakan bergantung kepada kelajuan perpindahan data dan syarikat perkhidmatan dengan bayaran bulanan RM48 sehingga RM188.

Selain itu, Najib turut mengumumkan langkah menukar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa untuk para pelajar yang berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dengan kelas pertama atau setaraf dengannya.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga mengumumkan rancangan membantu meringankan beban pelajar dengan tawaran kad diskaun tambang kereta api melalui kad diskaun 1Malaysia.

"Kita akan memberi diskaun tambang sebanyak 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar,'' kata Najib.

Katanya, kad diskaun pelajar 1Malaysia itu percuma dan boleh diperoleh daripada KTMB.

Sumber artikel : akhbar kosmo

No comments:

Post a Comment