Tuesday, October 27, 2009

Jambatan Gantung Runtuh

Operasi Mencari Dua Murid Diteruskan Sehingga 15KM

KAMPAR, 27 Okt (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa kejadian jambatan gantung yang runtuh di Sungai Kampar diteruskan sehingga 15 kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata operasi yang dimulakan sejak semalam diteruskan sehingga kini bagi mengesan dua lagi murid perempuan yang dikhuatiri lemas dalam kejadian itu.

Beliau berkata operasi melibatkan 500 orang anggota dan pegawai penyelamat dari pelbagai agensi kini tertumpu di kawasan perangkap sampah berhampiran lombong Tronoh.

"Tumpuan kita sekarang tertumpu di sekitar kawasan berhampiran lombong Tronoh dan lebih tiga kilometer sehingga perangkap sampah," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata walaupun arus Sungai Kampar agak deras ketika ini namun usaha mencari dan menyelamat mangsa akan tetap diteruskan sehingga kedua-dua murid yang hilang itu ditemui.

Abdul Aziz berkata pihaknya juga ada menerima laporan yang mendakwa seorang guru sekolah dipukul oleh bapa pelajar pagi ini.

"Insiden itu dipercayai ada kaitan dengan kejadian ini namun kita masih menjalankan siasatan terhadap laporan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin turut melawat tempat kejadian.

sumber berita: Bernama

1 comment:

  1. sama2 le kita berhati2.....
    nak selamat.... buat semua kat skolah je lah...
    kemudian jemput guru sekolah lain handle....
    haha... kita buat suka sama suka....

    ReplyDelete